
Ejen bantu kanak-kanak kurang bernasib baik
KUALA LUMPUR: Ibu bapa bertanggungjawab menyuburkan sikap mulia dalam diri anak, bagi memastikan mereka membesar sebagai generasi penuh kasih sayang dan dapat menjalin hubungan baik dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata peranan yang besar itu hanya mampu direalisasikan sekiranya ibu bapa menunjukkan contoh baik untuk diteladani anak kecil ini, yang disifatkan sebagai 'ejen perubahan' dalam membantu kanak-kanak lain yang kurang bernasib baik.
"Kita perlu sentiasa menekankan pentingnya untuk anak ini mengamalkan sikap mulia. Mereka masih lagi kecil, jadi sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kualiti yang baik dapat terus subur dalam diri mereka.

"Bagi saya, aspek ini adalah penting kerana masyarakat penyayang dan dunia yang lebih aman hanya akan bermula dengan penekanan kepada prinsip bertimbang rasa terhadap keperluan mereka yang memerlukan." katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Power of 10 Sen � Gaza Dibelai, di Dewan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.
Sebanyak 11,000 peti derma diedarkan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) kepada setiap sekolah di seluruh negara menerusi program mengumpul dana hasil inisiatif Universal Peace Federation (UPF) dan PBSM.
Dana berjumlah RM143,730.10 yang berjaya dikumpulkan dalam kempen dua bulan itu, akan disalurkan kepada Tabung Bantuan Antarabangsa PBSM bagi menyediakan keperluan untuk kanak-kanak di Palestin yang kebanyakannya cedera dan kehilangan ahli keluarga disebabkan kekejaman rejim zionis.
Hadir sama, Pro Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Dr Aishah Ong; Presiden UPF Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail; Pengerusi PBSM, Tunku Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman; Duta Palestin, Abdelaziz Abughoush dan Ketua Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.
Rosmah berkata, beliau tersentuh apabila mengetahui kebanyakan yang terbabit dalam usaha pengumpulan dana ini terdiri daripada kanak-kanak, termasuk penderma termuda yang berumur empat tahun.
"Walaupun 10 sen, tetapi bagi saya apa yang perlu dibanggakan dan sangat bermakna ialah 'semangat memberi kepada mereka yang kurang berkemampuan' yang dipamerkan kanak-kanak ini.
"Bukan setakat memupuk budaya kasih sayang dan berkongsi, malah usaha ini sekali gus menunjukkan betapa wujudnya penyatuan di kalangan kanak-kanak ini apabila ia membabitkan usaha membantu saudara mereka yang kurang bernasib baik di Palestin supaya dapat menikmati kehidupan lebih baik," katanya.
Sementara itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), turut mengumumkan Bakti akan turut menyumbangkan sejumlah wang sebagai menyokong usaha itu.







Get Involved